KASSIM AHMAD

ULASAN Pihak yang tidak mempunyai kepakaran dalam ilmu Islam dan diiktiraf oleh badan-badan agama Islam di negara ini mestilah berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan “cetek dan dangkal” berkaitan Islam dan hukum-hakam.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini nyata mengundang polemik, kekeliruan dan perbahasan yang tidak diperlukan dalam masyarakat Malaysia.

Dalam isu terbaru ketika seminar pemikiran Kassim Ahmad yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, beliau didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang bersifat kontroversi.

Ia antaranya:
  1. Islam di negara ini telah diselewengkan oleh “kasta paderi” yang dipanggil ulama.
     
  2. Mempertikaikan kredibiliti Rasulullah SAW.
     
  3. Mempertikaikan rambut wanita sebagai sebahagian daripada aurat wanita.
Sekiranya dakwaan ini benar, PEMBELA beranggapan kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh seseorang yang cetek ilmu Islam dan keliru dengan agamanya sendiri.

Barangkali, inilah kesan daripada pembelajaran agama tanpa melalui disiplin-disiplin serta cabang-cabang ilmu dalam Islam.

PEMBELA tidak ada masalah sekiranya Kassim hendak berbicara tentang pengetahuannya dari sudut sastera mahu pun falsafah.

Tak diikiraf layak

Namun, dalam bab Islam, beliau bukanlah seseorang yang diiktiraf sebagai layak dan berilmu.

Oleh yang demikian, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang hanya akan mengelirukan umat Islam yang lemah pengetahuan agamanya.

Islam tidak menghalang umatnya untuk mengeluarkan pendapat, tetapi untuk ‘berfatwa’ ia hal yang berbeza.

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan ini juga secara tidak langsung menghina institusi ulama, cerdik pandai agama malahan majoriti umat Islam sendiri.

Apakah Kassim fikir umat Islam sejak beratus tahun begitu bodoh, tidak boleh berfikir dan dirinya sendiri begitu luar biasa pandai?

Apa kredibiliti Kassim Ahmad? Hafaz Al-Quran dengan lengkap, mahir bahasa Arab kelas tinggi, mahir Asbabun Nuzul setiap inci ayat Al-Quran, mahir ilmu Usul Fiqh, tahu yang mana satu ayat Muhkamat atau Mutasyabihat, tahu yang mana satu ayat Makkiah dan yang mana satu ayat Madanniyah?

Berapa ribu hadis yang dihafal oleh Kassim Ahmad lengkap dengan perawi-perawi nya? Dan ijazah sanad apa yang dimilikinya?

Abai kenyataan cetek

Justeru itu, bagi membendung amalan mentafsir agama ‘ikut suka hati’ yang semakin berleluasa ketika ini (dalam hal ini, kes melibatkan Kassim), PEMBELA memohon agar pejabat mufti Wilayah Persekutuan dapat mengaturkan suatu dialog tertutup dengan kehadiran pakar-pakar dan alim ulama.

Ia supaya kenyataan-kenyataan yang didakwa dibuat oleh Kassim dapat diteliti untuk dijadikan sebagai asas pertuduhan.

Seterusnya, Kassim perlu didenda dan diperintah melalui proses pemulihan sebagai mana sepatutnya.

Sekiranya ia gagal dipatuhi oleh Kassim, tindakan lebih keras wajib diambil bagi mengelakkan mudarat dan kekeliruan lebih luar biasa di kalangan umat.

Akhir sekali, PEMBELA menyeru umat Islam seluruhnya untuk mengabaikan mana-mana kenyataan-kenyataan ‘cetek dan dangkal’ daripada pihak yang mendakwa kononnya mewakili Islam, tetapi tiada kredibiliti ilmu sewajarnya.

Dalam kes Kassim, buku beliau Hadis: Satu Penilaian Semulasendiri telah difatwakan sebagai bercanggah dengan akidah Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis-Majlis Agama Islam Negeri Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Terengganu, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Rujuklah kepada badan-badan agama Islam sedia ada yang diiktiraf. Sentiasalah kita beringat dengan pesan Rasulullah SAW:

“Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama berpegangan dengannya, yakni Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah SAW.” – Hadis Riwayat Muslim


MOHAMED HAFIZ MOHAMED NORDIN pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Comments